Selasa, 11 April 2017

Pengenalan Pertanian

1.0       PENGENALAN.

Pertanian telah wujud lama di Malaysia dan mengalami pelbagai transformasi dari kegiatan pertanian tradisonal sehingga pertanian dikomersialkan sebagai perniagaan. Bidang pertanian komersial merujuk kepada kegiatan pertanian yang diusahakan dalam bentuk perladangan dengan hasil produktiviti dalam skala besar, jumlah keluasan tanah yang diusahakan luas, berdaya maju dan dimajukan dengan tanaman yang berpotensi untuk jualan bagi meningkatkan pendapatan dan menambah nilai guna tanah untuk pulangan yang bersifat komersial.

Pertanian boleh didefinisikan sebagai aktiviti bercucuk tanam dan dalam erti yang luas dimaksudkan sebagai kegiatan yang berkaitan dengan proses pengeluaran penghasilan bahan-bahan keperluan manusia yang boleh berasal dari tumbuhan mahupun haiwan yang disertai dengan usaha untuk memperbaharu, memperbanyak (reproduksi) dan mempertimbangan faktor ekonomi.

Bidang pertanian telah menjadi keutamaan daripada 12 bidang Ekonomi Utara Negara (NKEA) dan Dasar Agromakanan 2011-2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dan menjadikan sektor pertanian sebagai bidang yang berpotensi tinggi untuk negara serta perniagaan yang menguntungkan kepada penternak, petani dan peladang. Oleh itu usahawan tani harus mengambil peluang ini untuk meletakkan bidang pertanian seperti penternakan, perikanan dan perladangan atau penanaman satu propek yang cerah sebagai satu perniagaan berasaskan pertanian yang bernilai tinggi.


2.0       KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN.
Sumber pertanian sangat penting dalam menghasilkan sumber makanan kepada penduduk Malaysia yang semakin bertambah dan keperluannya dalam kehidupan seharian untuk membekalkan tenaga, perniagaan dan memenuhi permintaan industri dalam pasaran. Sektor perternakan seperti kambing, lembu dan ayam membekalkan bekalan daging. Komoditi penanaman padi secara besar-besaran membekalkan beras dan sektor perikanan yang dijalankan secara akuakultur atau perikanan laut menghasilkan sumber makanan iaitu protein kepada rakyat Malaysia.
Penghasilan bahan makanan daripada sumber pertanian dapat memenuhi keperluan sekuriti makanan kepada rakyat Malaysia. Sekuriti makanan mengikut definisi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diambil daripada Utusan Malaysia yang bertarikh 31 Ogos 2015 bermaksud sekuriti makanan akan wujud apabila setiap manusia pada setiap masa memiliki akses fizikal dan ekonomi untuk mendapatkan makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat bagi memenuhi keperluan diet dan cita rasa mereka supaya dapat hidup aktif dan sihat, ini dapat dirumuskan sekuriti makanan ialah kecukupan, kebolehdapatan, keselamatan, berkhasiat dan mampu beli.  Untuk memenuhi keperluan sekuriti makanan mencukupi pelbagai pihak harus memainkan peranan bagi memastikan industri agromakanan terus berkembang.
Penghasilan hasil pertanian dengan skala yang besar dapat mengurangkan import dan kebergantungan terhadap negara lain. Dalam Utusan Malaysia bertarikh 11 september 2016 pada masa ini pengeluaran daging lembu oleh syarikat atau penternak tempatan hanya memberi sumbangan sebanyak 30% dalam pasaran dan selebihnya perlu diimport. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan pembekalan daging lembu oleh penternak tempatan dalam pasaran akan meningkat kepada 50 peratus menjelang 2020, ini sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan daging import dari Australia, Kemboja, Thailand dan Vietnam.
Sektor pertanian menyumbang kepada Keluaraan Dalam Negara Kasar Negara sebanyak RM30.6 billion atau secara peratusan ialah 8.6% pada tahun 2005. Daripada sumbangan ini industri agromakanan mencatatkan sebanyak RM11.9 billion atau 3.3% kepada KDNK. Industri ini menunjukkan pertumbuhan nilai ditambah yang tinggi sebanyak 4.7% setahun dalam 2000 hingga 2010 berbanding jangkaan pertumbuhan 4.4%. Ini disebabkan perkembangan industri ternakan, tanaman dan perikanan (Dasar Agromakanan 2011-2020).
Bidang pertanian dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak dan belia atau graduan boleh menceburi bidang ini sebagai kerjaya pilhan dengan menjadikannya sebagai perniagaan. Tiga kumpulan pekerjaan utama dalam bidang pertanian iaitu tanaman, ternakan dan perikanan yang boleh dipelopori oleh anak muda sekaligus dapat mengurangkan pengangguran di Malaysia. Bidang pertanian boleh dijadikan sebagai perniagaan yang menguntungkan jika usahawan tani mempunyai ilmu dan kepakaran serta berani untuk mengambil risiko dalam mengusahakannya secara komersial dan sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak terutamanya di kawasan setempat. Contohnya dalam penanaman pisang dapat menghasilkan sumber makanan seperti kerepek, yang mana wujudnya industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan seperti pemasaran, pembungkusan, akauntan dan sebagainya.
3.0       POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN
Perniagaan yang menguntungkan disebabkan adanya potensi yang tinggi sesebuah perniagaan itu berjaya. Bagi bidang pertanian sebagai perniagaan yang menguntungkan apabila adanya peluang perdagangan antarabangsa, penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk industi agromakanan, Program Ekonomi Tranformasi Malaysia (ETP) dan faktor pendorong yang lain.
Peluang Perdagangan Antarabangsa.
Dengan adanya perdagangan antarabangsa dapat memberi peluang yang besar kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk pertanian kepada negara luar dan memberikan pendapatan yang lumayan hasil penjualan pertanian. Contohnya Ekspo China-Asean (CAEXPO) 2016 menunjukkan jualan Malaysia sebanyak RM329.60 juta naik sebanyak 53.6% berbanding tahun 2015 ini. Dengan makanan dan minuman sebanyak (RM169.6 juta), kesihatan dan kesejahteraan (RM126.12 juta) sumber yang dipetik daripada Bernama yang bertarikh 17 September 2016. Ini memberi gambaran peluang potensi perniagaan terhadap produk industri asas tani dan juga industri agromakanan yang perlu direbut oleh usahawan tani di Malaysia.
Hasil daripada ekspo ini, Malaysia mempunyai peluang untuk mengeksport produk hasil pertanian ke negara China dengan lebih banyak. Contohnya usahawan tani yang menjalankan industri sarang burung Walit boleh menggunakan askses ini untuk mengeksport produk pemakanan kesihatan ke negara China.
Penyelidikan dan pembangunan produk Industri AgroMakanan.
Produk industri agromakanan memperoleh bekalan sumber daripada hasil pertanian seperti ayam, lembu, sayur-sayuran, buah-buahan dan perikanan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D). Produk industri agromakanan seperti makanan siap untuk dimakan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran. Antara produk makanan tempatan yang dijual di pasaran seperti roti canai, karipap, popia, pau, seroding daging, bubur nasi segera dan sebagainya. Produk makan siap dimakan boleh didapati secara makanan sejuk dan beku atau diletakkan dalam bekas kedap udara, pek plastik dan sebagainya. Ini memudahkan pengguna kerana tidak perlu untuk menyediakan segala bahan untuk menghasilkan makanan berkenaan dan ia merupakan hasil daripada R&D .
Produk siap untuk dimakan semakin mendapat permintaan disebabkan faktor gaya hidup iaitu kesibukan golongan wanita terutamanya yang berkerja serta tidak mempunyai masa untuk memasak dan juga bagi golongan muda yang lebih gemar mendapatkan produk segera untuk dimakan atau dimasak. Oleh itu faktor-faktor ini boleh menjadi potensi kepada usahawan PKS bagi mengembangkan perniagaan selain melakukan penambahbaikan terhadap produk. Usahawan tani seperti penternak, nelayan dan peladang dapat membekalkan bahan mentah pertanian kepada pengusaha produk makanan pertanian ini mewujudkan jaringan perniagaan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Ekonomi Transformasi Program (ETP)
Terdapat 11 potensi perniagaan yang disenaraikan dalam Ekonomi Transformasi Program (ETP) iaitu produk nutraseutikal, pengedaran luar negara, penternakan ikan hiasan, kilang makanan bagi akuakultur, pusat eksport akuakultur, industri makanan ternakan ayam di kelapa sawit, penanaman cendawan butang, herbaI dan industri pemprosesan makanan oleh syarikat luar negara.
11 potensi perniagaan ini telah dikaji oleh kerajaan berdasarkan jangkaan pasaran terhadap permintaan pengguna yang semakin meningkat. Potensi ini merupakan peluang kepada usahawan terlibat dalam program ini. Contohnya aktiviti perikanan akuakultur stastistik jumlah pengeluaran ikan secara akuakultur dijangka akan meningkat sebanyak 790 tan metrik pada 2020, sumber diperolehi daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam Dasar Agromakanan 2011-2020 iaitu pertanian yang bernilai tinggi.
Permintaan yang tinggi terhadap ikan air tawar seperti talapia, kerapu dan siakap sama ada di peringkat perdagangan antarabangsa dan dalam negara dapat menarik minat usahawan tempatan untuk terlibat dalam menjalankan aktiviti ini ditambah pula permintaan yang tinggi terhadap makanan laut seiring dengan perkembangan perniagaan seperti perhotelan dan khidmat makanan iaitu restoran memerlukan makanan laut ini.
Harga bagi setiap ikan air tawar, begitu juga dengan undang galah dan undang laut boleh mencecah harga yang tinggi apabila dijual di pasaran, ditambah dengan permintaan dari negara luar dan Malaysia mengeksport undang laut sebanyak RM630 juta masing-masing ke negara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat juga ke negara China, Jepun, Hong Kong dan Korea Selatan bagi produk udang laut dan ikan marin hidup serta sotong sumber diambil daripada sinar harian yang bertarikh 27 Januari 2015. Dapat dirumuskan perniagaan ini merupakan industri yang boleh dipelopori oleh rakyat Malaysia yang ingin menjana pendapatan yang tinggi dan potensi untuk dikomersialkan menerusi ETP yang memberikan kelebihan yang banyak bukan sahaja dalam akuakultur tetapi juga kepada bidang pertanian yang lain.
Menggalakkan pemprosesan hasil pertanian.
Aktiviti pemprosesan agromakanan perlu diperbanyakkan bagi memaksimumkan penggunaan hasil pertanian tempatan, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan serta meningkatkan pulangan pelaburan ia merupakan potensi kepada perniagaan yang menguntungkan kerana hasil pertanian digunakan tanpa pembaziran. Usaha untuk menggalakkan pemprosesan makanan, kapasiti pengeluaran dan pemprosesan makanan ditingkatkan untuk membolehkan usahawan memenuhi permintaan terutamanya daripada pengimport pukal.
Bagi menjamin bekalan yang mencukupi dan berterusan untuk kontrak jangka panjang, satu program yang diusahakan iaitu program yang bersepadu daripada peringkat pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran seperti ladang kontrak akan diperluas dan diperkukuh. Selain itu, produk makanan yang dikeluarkan mestilah berkhasiat mempunyai nutrient yang mencukupi, selamat dan memenuhi piawai antarabangsa, selain itu dapat meningkatkan prospek yang cerah kepada Industri Makanan Halal negara di peringkat antarabangsa.
Bagi membimbing dan membangun PKS agromakanan syarikat peneraju akan dikenal pasti dengan memberikan program bina upaya, bantuan kewangan serta sokongan seperti R&D dan pemasaran produk. Syarikat peneraju yang terlibat dalam program ini akan diberi kelebihan seperti keutamaan dalam bekalan kerajaan, pinjaman mudah dan sokongan dalam penyertaan ekspo perdaganan antarabangsa ini memberi peluang potensi perniagaan di pasaran antarabangsa.(Dasar AgroMakanan 2011-2020)
Permintaan terhadap penggunaan herba dalam produk kecantikan dan kesihatan.
Herba secara umumnya didefinisikan sebagai semua jenis tumbuhan yang mana bahagiannya termasuk daun, batang akar ataupun bunga mempunyai nilai perubatan, makanan kesihatan atau tambahan, pewangi dan industri bau-bauan dan juga kosmetik. Antara 10 herba yang berpotensi untuk dibangunkan oleh usahawan herba ialah, tongkat ali, pegaga, mengkudu, dukung anak, kacip fatimah, halia, misai kucing hempedu bumi, mas cotek dan limau pulut
Ini dibuktikan dengan banyaknya produk-produk penjagaan kesihatan yang menjadikan herba sebagai makanan “suplemen” atau sumber makanan tambahan di dalam produk antaranya produk kesihatan D’Herbs menggunakan kacip Fatimah bagi produk Jus Perawan Gold, produk Almas Beauty & Healty menggunakan halia dalam jus nusantara, produk kesihatan Umar iaitu Umar 1001 rahsia menggunakan herba tongkat ali dan produk-produk jenama lain yang terdapat di pasaran .
Kemajuan teknologi dalam pertanian.
Kemajuan teknologi dalam pertanian menyebabkan bidang pertanian berpotensi sebagai perniagaan yang menguntungkan. Ini menerusi agro teknologi yang merupakan penggunaan teknologi di dalam pertanian yang berbentuk tanaman, haiwan peliharaan dan tenusu. Di Malaysia perkembangan teknologi ini dilihat dalam penghasilan padi yang dahulunya ditanam 2 kali setahun tetapi dengan penyelidkan terkini, penanaman padi dapat ditingkatkan sebanyak tiga atau empat kali setahun dengan benih padi yang lebih berkualiti. Buah-buahan yang merupakan sektor pertanian yang bernilai tinggi dapat berbuah dengan cepat menggunakan teknologi ini.
Manakala teknolgi nuklear dalam pertanian dapat menghasilkan kepelbagaian baka baru yang lebih berkualiti melalui proses radiasi bagi menghasilkan tumbuhan yang lebih berkualiti.Antara contoh beberapa tumbuhan mutan yang berjaya dihasilkan adalah pisang, kacang tanah dan tanaman hiasan yang mempunyai ciri-ciri yang lebih baik dari segi kualitinya  seperti hasil keluaran yang banyak, pokok yang rendah, pokok yang matang awal, rasa yang lebih enak serta perubahan warna bunga dan daun untuk hiasan merupakan tumbuhan yang banyak digunakan dalam sektor landskap. Teknologi nuklear ini juga akan digunakan dalam menghasilkan lembu klon.
4.0       CABARAN/ HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN.
Wabak penyakit dan serangga perosak.
Wabak penyakit boleh menyebabkan kemerosotan pengeluaran dalam pertanian.Contoh wabak penyakit selsema burung menyebabkan banyak haiwan ternakan iaitu ayam terpaksa dihapuskan ini memberi kesan terhadap bekalan makanan seperti daging dan telur berkurangan. Selain itu, penyakit kuku dan mulut haiwan ternakan lembu boleh menyebabkan sebaran penyakit sejauh lima kilometer melalui angin dan jika tidak terkawal boleh membahayakan, sepertimana yang berlaku di daerah Jempol pada tahun 2011 sebanyak 22 ekor lembu mengalami jangkitan dan masalah ini akan bertambah serius apabila mulut lembu mengeluarkan buih, tidak mampu bergerak juga tidak dapat mengeluarkan susu dan tiada kemahuan untuk makan. Masalah ini boleh menyebabkan kebimbangan kepada penternak, selain kerugian sekiranya berlaku kematian haiwan ternakan dalam kuantiti yang banyak. (Utusan Malaysia Online, 2011)
Serangan serangga perosak menyebabkan kualiti dan kuantiti pengeluaran sayuran dan buah-buahan akan terjejas. Contoh serangga perosak iaitu ulat bulu boleh menyebabkan sayur-sayuran berlubang, hama labah-labah menyebabkan tanaman berwarna kuning berbintik-tompok pada sebelah bawah daun manakala siput babi menyebabakan kerosakan besar pada anak buah dan pelbagai jenis serangga perosak yang memberi kesan buruk kepada tanaman pertanian.
Cuaca.
Cuaca merupakan cabaran dalam pertanian dan faktor luaran yang tidak dapat dikawal oleh petani, penternak dan peladang. Cuaca yang ekstrem boleh menyebabkan sektor perladangan, penternakan dan perikanan terjejas.Contohnya fenomena El-Nino cuaca yang panas melampau di Malaysia pada tahun 2016 menyebabkan pembenihan ikan terganggu sebanyak 10,000 benih ikan jelawat, jenahak dan kerapu yang diternak di Kuala Selangor dan Kuala Sepentang mati, ini sekaligus menyebabkan kerugian pada penternak. (Bernama, 2016)
Cuaca yang panas juga memberi kesan kepada penanaman sayur-sayuran yang tidak tahan panas seperti kubis bunga, tomato dan brokoli ini yang berlaku di tanah tinggi Cameron Highlands pada tahun 2016 dan ia juga menyebabkan pengeluaran berkurangan dan harga sayuran akan meningkat. (Bernama, 2016)
Modal dan tanah.
Modal boleh diklafikasikan sebagai halangan dalam perniagaan berasaskan pertanian. Ini kerana untuk menjadikan pertanian sebagai perniagaan petani, penternak dan peladang perlu mempunyai modal untuk membeli keperluan dalam pertanian seperti jentera pengangkut, mesin, kenderaan, baja dan sebagainya.  Menurut Nor Aini dan Abu Razak (2004) sumber yang dipetik daripada jurnal Mat dan Abdul Majid (2015) dalam kajiannya menyatakan kemudahan kredit untuk membeli input-input pertanian selalunya dikenakan kadar faedah yang tinggi.  Faktor ini merupakan penghalang bagi usahawan tani kerana kebanyakan usahawan bumiputera tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, ditambah dengan kadar faedah yang tinggi.
Masalah tanah untuk pertanian berhadapan dengan keluasan tanah yang tidak ekonomik, kekurangan tanah untuk tanaman disebabkan faktor pembangunan industri seperti perkilangan yang memerlukan tanah untuk membangunkan premis dan menjalankan operasi, tanah yang kurang sesuai untuk pertanian dan masalah sewa tanah.Masalah ini selalu dihadapi oleh usahawan tani dalam mencari tanah yang sesuai untuk menjalankan aktiviti pertanian dan selalunya aktiviti pertanian akan tertolak ke pinggir bandar.
Tenaga buruh.
Kebanyakkan tenaga buruh diambil daripada negara asing seperti India, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan sebagainya untuk mengisi kekosongan dalam sektor perladangan dan penternakan bagi tenaga buruh kurang mahir.Ini dapat dibuktikan pada tahun 2005 tenaga kerja asing yang diambil bekerja adalah sebanyak 45 ribu dan pada tahun 2010 sebanyak 233 ribu tenaga kerja asing (Dasar Agromakanan 2011-2020).
Ini menyebabkan banyak proses yang perlu dilalui seperti proses dokumentasi pekerja asing untuk mendapatkan permit yang sah ke negara ini. Ini berbeza dengan rakyat tempatan yang boleh diambil secara terus untuk bekerja kerana tidak memerlukan sebarang proses dokumentasi dan tiada sebarang kos yang terlibat. Kedua pertanian juga kekurangan buruh tenaga mahir dalam aspek pengurusan, pemasaran dan juga kepakaran tenaga buruh professional dalam penyelidikan dan pembangunan (R & D). Kebanyakan pengusaha pertanian hanya mempunyai pengetahuan untuk menjaga ternakan, tanaman dan sektor pertanian lain serta bidang ini dipelopori oleh golongan yang berusia berbanding penyertaan belia.
Apabila tiada tenaga buruh yang mahir dalam kewangan menyebabkan ketidakseimbangan aliran tunai, manakala pemasaran produk pertanian tidak dapat dipasarkan secara meluas dan hasil buangan pertanian tidak dapat digunakan dengan sebaiknya kerana tidak mempunyai standard operation procedure atau prosedur operasi penyeragaman. Dapat disimpulkan di sini tenaga buruh sangat penting dalam memastikan pengurusan petanian berjalan lancar dan ia merupakan halangan yang perlu diatasi oleh petani, penternak dan peladang dalam mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia yang berkemahiran dalam bidang pertanian.
Perjanjian TPPA.
Perjanjian TPPA atau nama penuhnya adalah Trans Pacific Partnership Agreement melibatkan perjanjian 12 buah negara dalam bidang utama iaitu ekonomi. Perjanjian ini merupakan perdagangan bebas antara Amerika Syarikat dengan 11 buah negara yang terlibat dalam perjanjian ini.
Kesan perjanjian ini kepada industri pertanian Malaysia, menyebabkan syarikat gergasi dari luar negara memberi saingan yang besar kepada usahawan-usahawan kecil yang menjalankan industri PKS yang berasaskan pertanian atau industri agromakanan. Ini kerana perjanjian ini mengamalkan pasaran terbuka dan bebas berniaga ia juga seperti Sistem Ekonomi Pasaran Bebas di Amerika Syarikat. Tambahan pula ia akan memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras dari Amerika Syarikat akan menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini. (Melvister.com, 2015)
5.0       SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN.
Menyediakan tanah untuk menyewa atau memajak tanah untuk pertanian.
Pengusaha yang berminat untuk menjalankan aktiviti pertanian boleh mengenal pasti dan memohon untuk menyewa atau memajak tanah di Pejabat dan Galian di setiap negeri. Selain itu, MOA juga menjalankan program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian di setiap negeri. Setiap pengusaha akan diberikan sekurang-kurangnya 2 hektar tanah bagi tanaman buah. Permohonan untuk menyertai program ini perlu dikemukakan kepada Jabatan Pertanian Negeri masing-masing. ( Dasar AgroMakanan 2011-2020)
Skim bantuan kepada penternak.
Kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan/ kemudahan seperti pinjaman kewangan, insentif serta khidmat teknikal kepada para penternak yang terlibat secara aktif dan sepenuh masa dalam bidang usaha penternakan lembu pedaging khususnya secara integrasi dalam ladang kelapa sawit. Antaranya adalah seperti Skim 3F yang disediakan menerusi Bank Pertanian Malaysia.
Skim ini sentiasa dikemas kini dari masa ke semasa bertujuan untuk memberi kewangan kepada para penternak. Dalam konteks ini, pendekatan dan pelaksanaan projek di bawah konsep MOA Inc. menyediakan pinjaman kewangan pada kadar faedah serendah 3.75% melalui Agrobank. Kerajaan turut menyediakan insentif seperti Skim Transformasi Usahawan Ternakan (TRUST) serta skim Pinjaman Baka Baik Pejantan khusus untuk bawah Skim Trust, penternak yang berkelayakan berpeluang mendapatkan pinjaman tanpa faedah dalam bentuk ternakan (induk betina dan baka pejantan). Selain itu, bantuan perkhidmatan teknikal disediakan secara percuma kepada semua penternak dalam usaha meningkatkan daya saing dan pengusaha komersil. ( Dasar AgroMakanan 2011-2020)
Memperkasa modal insan dalam pertanian
a)    Program Latihan Kemahiran Pertanian Malaysia
Tujuan program ini untuk menggalakkan generasi muda melibatkan diri dalam bidang pertanian sebagai pekerja mahir, penyelian, pengurusan dan pengusaha pertanian bertaraf komersil dan berskala besar melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti sektor pertanian negara.
Bidang latihan yang boleh diikuti oleh pelajar seperti:
  1. Tanaman
  2. Penanaman padi
  3. Ternakan potri
  4. Akuakultur air tawar
  5. Akuakultur marin
  6. Teknologi perikanan tangkapan
  7. Pemprosesan makanan
  8. Pemasaran.
b)   Tenaga buruh
Langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memperkasa modal insan dan menangani masalah kekurangan tenaga manusia di sektor pertanian. Menggalakkan penggunaan teknologi terkini dan mekanisasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia dan juga memperkukuh keupayaan pengusaha tani dalam penggunaan teknologi, mekanisasi dan ICT melalui kesedaran dan latihan berterusan.
Selain itu, memperkasa peranan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) serta institutut latihan pertanian lain yang sedia ada.
Menstabilkan harga makanan.
Langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menghadapi jangkaan terhadap kenaikan harga makanan global dan input pertanian. Ini kerana sistem bekalan makanan global berhadapan dengan keadaan ketidaktentuan dan memerlukan strategi atau langkah yang bersifat inovatif iaitu satu pembaharuan strategi. Sistem pemantauan harga bahan makanan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan diselaraskan dan diperluas di seluruh negeri iaitu penyediaan maklumat harga semasa.
Sistem amaran bekalan makanan diusahakan di bawah FAMA, LKIM dan juga jabatan/agensi yang berkaitan untuk memantau pengeluaran dan harga makanan tempatan serta luar negara bagi memudahkan pengeluar dan pengimport dapat merancang pengeluaran dan harga makanan yang stabil dan berpatutan. Dalam pada itu, sistem amaran awal bekalan beras akan dibangunkan di bawah Malaysia Rice Supply Chain Council bagi tujuan memantau pengeluaran, stok penimbal dan harga beras di pasaran. (Dasar AgroMakanan 2011-2020)
Penglibatan pihak swasta dalam sektor pertanian.
Bagi menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam pertanian kerajaan menyediakan infrastruktur yang bersepadu dan lengkap terutama di kawasan tumpuan pertanian TPKM, ZIA (Zon Industri Akuakultur) dan Kluster Bersepadu Minyak Sawit (POIC).
Selain itu, mengurangkan penglibatan agensi kerajaan melalui anak syarikat dalam aktiviti pengeluaran dan perniagaan tani secara berperingkat bagi mengelak crowding out penglibatan swasta dan memudah serta mempercepat penyampaian perkhidmatan melalui pewujudan pusat sumber dan maklumat setempat dengan menyediakan maklumat terkini mengenai peluang pelaburan di sektor pertanian, insentif yang ditawarkan oleh kerajaan, khidmat nasihat serta peraturan dan prosedur yang lebih mesra perniagaan.
Menggunakan input pertanian berkualiti dan sah.
Bagi meningkatkan produktiviti pertanian mestilah mempunyai pembekalan benih yang sah dan penggunaan input pertanian yang berkualiti tinggi. Ini diusahakan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam menghasilkan baka, benih dan klon yang mempunyai nilai tinggi dengan ciri yang dispesifikan seperti kadar hasil yang tinggi, tempoh matang yang singkat serta tahahan penyakit dan seranggan perosak akan dipergiatkan.
Usaha ini akan dilaksanakan oleh MARDI dengan mewujudkan pusat Centre for Market discovery & Validation (CMDV) bagi membangunkan varieti atau kepelbagaian dan baka baru dengan ciri khusus melalui kaedah Marker Assisted Selection (MAS). Pengeluaran benih yang sah berkualiti oleh pengusaha tapak semaian akan didaftar dan dipantau oleh agensi yang terlibat. Usaha ini juga akan diambil untuk melaksanakan perolehan berpusat bagi input pertanian untuk mengurangkan atau meminimumkan kos input di kalangan petani dan pekebun kecil.
Manakala Majlis Benih Nasional akan ditubuhkan untuk merancang dan menyelaras atau menyeragamkan pembangunan industri benih negara termasuk benih dan bahan tanaman, benih ikan bagi menghasilkan baka ikan yang berkualiti terutamnaya bagi industri Akuakultur dan jugan baka ternakan. Tambahan pula pelan pembiakan Nasional dan Pelan Pengeluaran Benih akan disediakan oleh Majlis Benih Negara. (Dasar AgroMakanan 2011-2020)
Membangunkan bioteknologi dalam negara.
Majlis Pelaksanaan Bioteknologi akan menetapkan visi dan misi secara keseluruhan dasar, mengawasi pelaksanaan usaha bioteknologi negara dan menyediakan forum bagi memastikan penyeragaman antara kementerian. MOSTI dengan kerjasama kementerian yang terlibat akan merangka langkah yang perlu diambil bagi melaksanakan program untuk memanfaatkan bioteknologi. Kementerian utama seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa  dan Industri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi akan membantu pembangunan yang terpilih dalam bioteknologi pertanian, bioteknologi industri dan bioteknologi penjagaan kesihatan.
Bagi menarik minat pelaburan sektor swasta dalam bioteknologi, antara usaha yang dilakukan seperti pakej insentif khusus termasuk geran setara untuk R&D akan disediakan kepada syarikat berstatus Bionexus. Pusat kecemerlangan dalam bioteknologi akan diwujudkan untuk memberikan kemudahan guna sama dan kepakaran teknikal.
Pihak yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan di dalam penggunaan teknologi nuklear di dalam pertanian ialah Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia ( MINT) di bawah Bahagian Agroteknologi dan Biosains.Antara teknik nuklear yang dibangunkan seperti mutasi aruhan iaitu perubahan tahap kebakaran akibat agen fizikal), kajian racun serangga, pengurusan pengairan, kajian sampingan agro, pengurusan atau kendalian lepas tuai dan pengawetan makanan.
6.0       KESIMPULAN.
Secara ringkasnya dapat disimpulkan pertanian merupakan satu cabang pekerjaan yang boleh dijadikan sebagai kerjaya yang profesional iaitu usahawan tani yang berdaya saing dengan mengkaji keseluruhan aspek sebelum memulakan pertanian sebagai satu perniagaan. Kajian yang dilakukan melihat kepada potensi perniagaan yang menguntungkan berdasarkan kepada pasaran semasa, permintaan dan faktor-faktor penyumbang yang lain dan menggunakan bantuan atau galakan kerajaan bagi memajukan pertanian yang dipiih untuk dijalankan oleh usahawan tani.

0 komentar:

Posting Komentar